Saturday, September 23, 2006

A'kum kepada semua pengunjung,

Alhamdulillah minggu lepas banyak perkara telah berjalan dengan lancar dan jaya. Antaranya majlis sidang akhbar ZIARAH yang berlangsung Rabu lepas di Mines Resort. Terima kasih kepada semua yang menjayakan terutamanya Nik dan Muzaffar dari Astro yang banyak mempermudahkan urusan kami...juga kepada Team One-to-One View yang dikepalai oleh siapa lagi kalau bukan Paullina Oppei Paulus. Dan kepada semua sahabat wartawan....kehadiran dan sokongan anda semua amatlah kami hargai.

Esok... syukur ke hadrat Allah...sekali lagi kita semua berpeluang menghayati Ramadan Al Mubarak...sama-sama kita raikan Ramadan dengan penuh kemuliaan.

Dan bermula Isnin ini jam 6.30 petang, Ziarah bakal menemui anda di Astro Ria. Anda juga boleh menonton Ziarah setiap 12 tengah malam dan 6.30 pagi setiap Isnin hingga Jumaat jika tidak berkesempatan untuk menonton siaran petang. Bagaimanapun, saya mohon maaf kepada semua yang tidak memiliki Astro kerana tidak dapat bersama-sama menonton Ziarah.

Saya mahu ingatkan di sini bahawa Ziarah bukanlah dokumentari agama, ianya hanyalah catatan perjalanan kami merentas garisan krisis dan wilayah terpencil meninjau kehidupan saudara kita di sana. Saya mengharapkan usaha kami yang tidak seberapa ini bakal memberi sesuatu yang kita semua boleh manfaatkan bersama.

Dan jika tiada aral melintang, Kem Karismatik, satu lagi rancangan yang kami terbitkan di bawah tekanan dan cabaran yang maha dahsyat juga bakal disiarkan minggu depan bermula Khamis, 28 September 2006 jam 4 petang. Seperti dijanjikan sebelum ini saya akan cuba coretkan sesuatu di website Kem Karismatik secara mingguan.

Baik...izinkan saya kembali ke mood Ramadan sekejap ya. Bila saya kenang kembali memori Ramadan masa silam, terasa dada sedikit penuh dan mula naik sebak. Ingat lagi masa kanak-kanak dulu, saya dan kawan-kawan di kampung akan bersiap sedia lebih awal setengah jam sebelum waktu berbuka untuk keluar ke padang. Uniknya di Kuala Terengganu ketika itu waktu berbuka puasa dan imsak diumumkan dengan bedilan meriam. Kami bersorak keriangan dan lari pulang ke rumah masing-masing untuk berbuka bersama keluarga setelah bedilan kedengaran. Selepas sembahyang Maghrib di rumah, kami semua berkumpul pula untuk berterawikh di surau berdekatan. Bukan dari keluarga senang2, jadi tempurung dan lilin jadi peneman dan pemberi cahaya laluan semak samun. Sedih dan pedih jika dikenangkan tapi sebenarnya kesedihan dan kepedihan hasilkan kekuatan dan kekentalan jika diambil secara positif. Ok...itu kenangan Ramadan dulu-dulu.

Semoga kita semua lebih menghayati pengertian Ramadan sebenar tahun ini. Insyallah....

Jaga diri baik-baik dan jumpa lagi

Wan Din.



Thursday, September 14, 2006

A'kum semua pengunjung,

Seperti biasa saya harap anda semua sejahtera belaka dan terima kasih atas ucapan selamat ulangtahun.

Alhamdulillah sekali lagi kami semua selamat kembali dari ziarah kami ke Asia Tengah. Juga terima kasih kepada anda semua yang tidak jemu-jemu doakan keselamatan kami semua.

Sebelum berlepas saya menjangka cabaran ziarah ke Asia Tengah tidak sehebat dua ziarah kami sebelum ini. Bagaimanapun, jangkaan saya kurang tepat kerana ziarah di Asia Tengah nyata mencabar fizikal dan mental kami semua.

Sebelum ini bila mendengar laporan rejim komunis Rusia memberi kemerdekaan kepada beberapa wilayah di bawah jajahannya, saya seperti anda semua merasa bangga umpama meraikan satu kemenangan lebih-lebih lagi beberapa wilayah tersebut berjaya dikuasai saudara kita. Ziarah ke Uzbekistan, Kazakhstan dan Kyrgystan amat melukakan apabila melihat hampir seluruh budaya dan amalan selama beratus tahun berjaya dihakis oleh cengkaman penjajahan rejim komunis Rusia yang bertapak hanya selama 74 tahun.

Seperti kata Pengarah Konsep...Zainal Rashid Ahmad... adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membalas jasa ulamak Asia Tengah terdahulu untuk membetulkan segala kekufuran dan kesesatan aqidah kebanyakan saudara kita di sana. Ini kerana Islam yang kita anuti kini datangnya dari saudagar India Islam ke Melaka, dan syiar Islam sampai ke India pula apabila Empayar di Asia Tengah berkembang.

Saya dan krew Ziarah bukan alim mahupun ulamak namun kami tidak sanggup menanggung dosa sekiranya tidak memberitahu bahawa saudara kita di sana merayu agar ada pakar-pakar agama dari Malaysia untuk tampil membantu dan membimbing masyarakat Islam di sana yang jauh tersasar dari landasan sebenar. Dari tinjauan kami masih ada harapan untuk melihat cahaya Islam kembali bersinar gemilang di sana dengan bantuan dan bimbingan kita semua.

Insyallah Ziarah bakal menemui anda Ramadan ini.

Terima kasih dan jaga diri

Wan Din.